:)


Click here for Myspace Layouts

Sabtu, 23 Julai 2011

BIMBINGAN BERKARYA - MENULIS SKRIP DRAMA


PENGENALAN
Sebelum anda menulis sebuah skrip drama, anda tentulah terlebih dahulu perlu mengetahui apakah  itu drama. Anda tentu  pernah menonton drama pentas atau lebih dikenali sebagai teater. Apakah yang dimaksudkan dengan  drama dan apakah yang membezakannya daripada teater. Apakah menulis skrip drama itu berbeza daripada menulis novel dan apakah yang membezakan skrip drama pentas daripada drama televisyen?

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN DRAMA?
Drama berasal daripada  perkataan “dran” (Greek) yang bermaksud melakukan atau melakonkan. Drama ialah aksi mimetic (peniruan), iaitu  aksi yang meniru  atau mewakilkan perlakuan manusia. Menurut Aristotle, drama ialah peniruan kehidupan, sebuah cermin budaya dan suatu bayangan kebenaran. Dalam buku The American College Dictionary, drama didefinisikan sebagai karangan prosa dan puisi yang menyajikan dialog, pantomin atau cereka yang mengandungi konflik untuk dipentaskan. Mengikut Oxford Dictionary, drama sebagai komposisi prosa boleh disesuaikan untuk diaksikan di atas pentas yang ceritanya disampaikan melalui dialog dan aksi, dan dipersembahkan dengan bantuan gerak, kostum dan latar hiasan seperti  kehidupan yang sebenar. Bagi Aristotle, plot merupakan penggerak utama sesebuah drama dan drama harus dibina daripada tiga kesatuan, iaitu aksi, tempat dan masa. Elemen-elemen inilah yang menyebabkan drama ialah  sebahagian daripada cabang sastera. Selain  elemen sastera, drama juga merangkumi elemen-elemen seni yang lain seperti lakon, seni muzik, seni bina, seni busana dan seni tari.
Drama bukan hanya untuk dibaca , tetapi untuk dilakonkan di atas pentas, dengan penghayatannya berbeza antara dibaca dengan  pementasannya. Di sinilah letaknya perbezaan maksud antara drama dengan teater. Sebuah drama ialah naskhah skrip yang boleh dibaca secara individu tanpa memerlukan ruang, pelakon atau bantuan seni yang lain. Apabila skrip drama itu dilakonkan di atas ruang pentas dengan gabungan pelbagai seni yang lain dan ditonton pula oleh khalayak secara kolektif, maka ia dinamakan teater.

SKRIP DRAMA
Sebuah skrip drama berbeza daripada novel dan cerpen atau puisi. Bagi novel dan cerpen, pembaca akan dijelaskan secara terperinci tentang sesuatu situasi dan latar bagi sesuatu peristiwa yang berlaku melalui penerangan pengarang, manakala  dalam sesebuah naskhah drama, seseorang pembaca hanya akan diberikan gambaran umum (deskripsi) tentang sesuatu situasi, latar atau tempat, dan dialoglah yang akan menyampaikan mesej dan pemikiran pengarang. Hal inilah yang membezakan drama daripada karya sastera yang lain. Sememangnya sifat sesebuah naskhah drama digerakkan oleh dialog. Pemikiran atau gagasan pengarang disampaikan melalui dialog pelakon (watak-watak) yang berinteraksi dalam sesebuah drama. Sebuah naskhah drama yang baik akan dapat memberikan gambaran jelas tentang pemikiran pengarang melalui unsur-unsur dramatik dalam dialog yang dihasilkan. Unsur dramatik bermaksud diksi atau ungkapan yang boleh membangunkan konflik dalam drama seperti dialog yang menimbulkan perasaan marah, gembira, lucu,  dan seumpamanya. Sebuah drama yang baik juga harus mempunyai unsur suspens, ketegangan dan seharusnya mampu membina rasa ingin tahu pembaca atau penonton.

STAIL DAN PERWATAKAN
Drama merupakan karya seni yang mempunyai sifat sosial yang paling luas. Drama bersifat kerja berkumpulan kerana gabungan pekerja seni yang lain dan juga kerana reaksi penonton yang bersifat langsung (hal ini tentu berbeza daripada reaksi penonton yang menonton filem atau televisyen). Skrip drama yang menjadi sebahagian daripada cabang sastera bersifat “tetap” dan kekal secara keseluruhan, tetapi setiap kali naskhah drama itu dipersembahkan (dilakonkan) di atas pentas, produksi teks (skrip) akan berlaku perbezaan. Hal ini demikian kerana pelakon akan memberikan reaksi yang berbeza kepada penonton yang berbeza dan juga kesan daripada mood pelakon yang berbeza dalam setiap persembahan. Gabungan antara nilai yang tetap dan berubah inilah menjadi kelebihan sesebuah teater yang membezakannya daripada  drama yang dirakamkan secara mekanikal, iaitu filem, drama radio dan drama televisyen.

CIRI-CIRI DRAMA
Pada umumnya, drama mempunyai ciri-ciri yang berikut:
  • Drama merupakan prosa moden yang dihasilkan sebagai naskhah untuk dibaca dan dipentaskan.
  • Naskhah drama boleh berbentuk prosa atau puisi.
  • Drama terdiri daripada dialog yang disusun oleh pengarang dengan watak yang diwujudkan. 
  • Pemikiran dan gagasan pengarang disampaikan melalui dialog watak-wataknya.
  • Konflik ialah unsur penting dalam drama. Konflik digerakkan oleh watak-watak dalam plot, elemen penting dalam sesebuah skrip.
  • Konflik ialah unsur penting dalam drama. Konflik digerakkan oleh  watak-watak dalam plot, elemen penting dalam sesebuah skrip drama.
  • Sebuah skrip yang tidak didasari oleh konflik tidak dianggap sebuah drama yang baik.
  • Gaya bahasa dalam sesebuah drama juga penting kerana ia menunjukkan latar masa dan masyarakat yang diwakilinya, sekali gus drama ini mencerminkan sosiobudaya masyarakat yang digambarkan oleh pengarang.
STRUKTUR DRAMA
Pada dasarnya sesebuah drama mempunyai struktur tiga bahagian babakan (three act structure). Sejak drama tragedi Greek, drama Elizabeth (Inggeris) hingga  drama moden dan lakon layar filem, kesemua struktur skripnya dipecahkan kepada tiga bahagian. Perbandingannya adalah seperti kehidupan manusia yang terbahagi semasa dilahirkan, dewasa dan akhir hayatnya.
Sebelum memulakan sebarang bentuk tulisan, kita perlu mempunyai asas yang kukuh. Hal ini  demikian  kerana asas yang teguh akan mendukung struktur, konsep dan visi sesebuah drama. Ia akan menghasilkan satu rangka kerja atau karya yang kukuh yang tidak mudah pecah. Tanpa asas yang kukuh akan hanya menghasilkan kekecewaan, kebuntuan atau yang sering dikatakan sebagai “writers block”.
Kebuntuan lahir disebabkan tidak adanya perancangan. Tanpa perancangan, ia menyukarkan penulis mencari arah atau jalan yang betul dalam menghasilkan cerita.
Tiga elemen yang cukup penting yang perlu diberikan tumpuan oleh penulis sebelum memulakan penulisan skripnya ialah:

  • Fokus

  • Logik


  • Perwatakan.
    Fokus
    Untuk sebuah cerita sentiasa dalam kesatuan, watak-watak dan cara  mereka berfungsi memerlukan fokus atau tumpuan. Ia tidak ada bezanya sama ada jalan cerita kita berbentuk linear, non-linear (spiral) atau selari. Sentiasa memberikan tumpuan yang kukuh akan menjadikan proses penulisan kita mudah dan lancar. Fokus memerlukan beberapa pertimbangan. Yang utama adalah dengan  mengetahui watak-watak (siapa mereka?), latar, sifat dan perkembangan mereka. Fokus juga memerlukan perwatakan dan cerita secara keseluruhan mempunyai matlamat yang jelas pada akhirnya.
    Logik
    Apabila kita menghasilkan cerita dengan segala perwatakannya, tema dan ruang tempat, kita sebenarnya terlibat dengan penciptaan. Segala perwatakan, tema dan ruang masa serta tempat mempunyai peraturannya sendiri sebagaimana sebuah dunia dicipta. Sebab itu penulis drama sering dikatakan mencipta sebuah dunia. Akan tetapi dunia bagaimanakah yang dicipta itu? Bagaimanakah kehidupannya? Drama mengangkat atau meniru realiti (kehidupan), tetapi realiti yang bagaimana? Oleh itu realiti sesebuah drama perlu dilihat dalam konteks ceritanya, perwatakan dan temanya. Di sinilah logik drama tersebut diukur.
    Watak dan Perwatakan
    Sebuah skrip drama yang baik mesti mempunyai watak-watak yang mampu membawa cerita untuk terus berkembang. Watak-watak inilah yang menjadi cerita, dan kuasa merekalah yang menghidupkan cerita. Oleh itu watak ialah  elemen terpenting dalam drama. Wataklah yang menggerakkan plot cerita.  Dalam sesebuah drama terdapat watak utama dan watak sampingan. Selalunya dalam sesebuah drama terdapat satu watak utama, tetapi pada saya sesebuah drama mempunyai dua watak utama,  iaitu watak protagonis (watak yang menyokong idea penulis) dan watak antogonis (watak yang menentang idea penulis). Pertentangan idea ini akan menimbulkan konflik dan pertentangan konflik inilah yang membentuk struktur konflik dramatik yang menarik. Watak sampingan ialah watak-watak yang lain yang menyokong protagonis ataupun antogonis atau watak-watak yang melengkapkan cerita.
    ELEMEN DRAMA
    Elemen drama yang perlu diketahui oleh bakal penulis skrip ialah:
    Tema/Pemikiran
    Tema ialah idea atau persoalan pokok yang dapat dirumuskan daripada keseluruhan inti pati cerita. Persoalan pokok ini merupakan gagasan yang ingin disampaikan oleh  penulis dalam skripnya. Pemikiran ini disampaikan melalui dialog dan aksi watak-wataknya. Pembaca naskhah atau penonton drama yang sensitif akan dapat menangkap idea atau persoalan pokok ini selepas selesai membaca skrip atau menonton teater. Malah,  selalunya mereka bukan sahaja dapat menangkap idea atau tema drama tersebut, tetapi juga mereka akan dapat menjaring maksud lain atau lapisan maksud yang lain yang terkandung dalam drama tersebut. Pemikiran yang tersembunyi yang hanya dapat ditafsir oleh pembaca atau penonton yang mahu berfikir atau memahami perlambangan yang digunakan atau unsur cerita yang disampaikan oleh penulis dinamakan sebagai sub-teks.
    Plot
    Plot sangat penting dalam pembinaan struktur drama. Plot adalah struktur drama yang dibina melalui dialog dan aksi setiap watak. Dialog terbina melalui kata-kata atau bahasa. Melalui dialog inilah konflik dan perkembangan cerita berlaku. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, konflik memainkan peranan yang cukup penting dalam membangunkan struktur sebuah drama. Bertolak daripada konflik dan ketegangan inilah sesuatu peristiwa digerakkan dan dilanjutkan perkembangannya hingga kepada peleraiannya atau kesimpulan cerita. Plot bukan cerita atau naratif. Mengikut E.M. Forster cerita ialah huraian tentang peristiwa yang disusun mengikut urutan waktu. Plot ialah jalan cerita yang memberikan maklumat cerita. Ia dibina oleh watak dan apa yang berlaku melalui kesan sebab dan akibat dalam ruang dan waktu.
    Penulis perlu memahami bahawa dalam sesebuah persembahan teater, usaha menarik perhatian penonton dan menahan perhatian mereka selama mungkin ialah  tugas yang cukup penting. Sebuah plot mesti berupaya menarik perhatian dan mencipta suspens  dan di sinilah kesemua binaan dramatik memberi tumpuan. Harapan atau jangkaan penonton atau pembaca mesti dibina (tetapi hanya diselesaikan pada babak adegan terakhir), aksi (adegan) mesti kelihatan hampir mencapai objektifnya tetapi ia perlu tidak tercapai sehinggalah di akhir adegan, dan yang paling penting sebuah plot mesti mempunyai kepelbagaian (variasi) rentak dan tempo. Sebuah plot yang monotonos akan hanya menghilangkan minat penonton dan akhirnya kelihatan hambar dan mendatar.
    Terdapat beberapa bentuk suspens atau ketegangan yang boleh dicipta dalam sesebuah skrip. Soalan-soalan asas ini boleh menjadi contoh ketika hendak memulakan tulisan skrip anda, “Apa yang akan berlaku selepas ini?”, atau yang sama maksudnya, “Saya tahu apa yang akan berlaku, tetapi bagaimana ia akan berlaku?” Atau, “Saya tahu apa yang akan berlaku dan saya tahu bagaimana ia akan berlaku, tetapi bagaimanakah watak X memberi reaksi atau bertindak balas kepadanya?”
    Soalan-soalan asas ini wajar berlaku di awal bahagian skruktur dramatik skrip anda supaya pembaca atau penonton anda dapat terus bersedia kepada elemen utama suspens dalam drama anda. Seseorang mungkin mengatakan tema utama sesuatu drama itu mesti jelas. Bagaimanapun dalam sebuah skruktur skrip drama yang baik, ia terletak pada persoalan. Contohnya, siapakah yang melakukan pembunuhan itu, lelaki manakah yang akhirnya berjaya memiliki gadis itu, atau bagaimana bila sesorang suami mengetahui yang isterinya berlaku curang dan memiliki kekasih lain?
    Apabila penonton atau pembaca telah mengetahui tema dan persoalan dan objektif aksinya, maka jangkaan mereka akan tertumpu kepada titik akhir drama tersebut (penyelesaian) dan tahu ke mana tumpuan drama tersebut akan bergerak. Perhatian penonton tertumpu ke arah yang betul.
    Bagaimanapun perlu juga diketahui, tumpuan perhatian penonton selalunya adalah pendek. Satu elemen suspens utama tidak mencukupi untuk terus mengikat perhatian penonton. Oleh itu,  sebuah struktur skrip drama memerlukan suspens sampingan. Jadi suspens sampingan ini akan mendukung elemen suspens yang utama. Suspens sampingan ini diperlukan pada setiap adegan atau bahagian drama, yang akhirnya bergabung dengan keseluruhan momentum struktur drama tersebut.
    Dalam pembentukan plot, setiap watak bergerak dalam kerangka sebab dan akibat. Sesuatu peristiwa berlaku disebabkan oleh sesuatu alasan yang kukuh dan ia akan menghasilkan sesuatu akibat yang wajar. Ia merupakan  hukum yang mempunyai logikanya yang tersendiri. Oleh itu,  seseorang penulis perlu memastikan tindakan sesuatu watak itu wajar mengikut latar watak, tempat dan waktu, dan peristiwanya dan akibat yang berlaku itu adalah munasabah.
    Latar
    Elemen tempat, masa atau zaman serta masyarakat yang diceritakan selalunya dijelaskan melalui latar. Latar dalam drama  penting dijelaskan, tetapi perincian latar dalam drama adalah terhad. Ia hanya perlu untuk tujuan pementasan untuk menjelaskan tentang tempat dan masa, cukup untuk memberikan panduan kepada pembaca atau penonton. Berbanding dengan filem atau televisyen, drama pentas menghadapi kekangan dalam menukar set atau prop yang kerap dari satu babak ke satu babak yang lain.
    Babak
    Bahagian dalam drama yang menjelaskan peristiwa yang berlaku dalam sesuatu latar tempat dan masa disebut babak. Pertukaran latar tempat dan masa membawa perubahan babak.
    Adegan
    Adegan merupakan pecahan dalam sesuatu babak yang menjelaskan sesuatu peristiwa yang berlaku dalam sesuatu latar tempat tetapi pada masa yang berbeza.
    Bahasa
    Asas sebuah drama ialah perkataan atau dialog. Drama terbina oleh dialog dan aksi. Oleh itu,  bahasa yang menjadi asas perkataan adalah elemen yang cukup penting bagi sesebuah drama. Daripada bahasa yang dituturkan oleh pelakon itu, pemikiran dan gagasan pengarang disampaikan. Sesebuah drama yang baik akan menggunakan bahasa yang ringkas, padat dan mudah difahami supaya berkesan kepada penonton. Gaya bahasa atau dialog yang meleret dan sukar difahami akan menyebabkan pembaca dan penonton bosan dan akhirnya hilang tumpuan. Gaya bahasa yang baik dalam sesebuah drama akan memberikan latar zaman, masyarakat dan tempat. Justeru itu, dialek sesuatu daerah boleh digunakan oleh sesuatu watak untuk menghidupkan lagi perwatakannya, tetapi pastikan yang pembaca dan penonton dapat memahami dialek tersebut. Kekuatan sesuatu watak itu terpancar daripada kualiti dialog yang diucapkannya. Watak yang gagal mengucapkan dialog kuat, humor dan menarik akan sukar menarik perhatian penonton. Oleh itu,  pemilihan diksi, ayat atau unsur bahasa penting dalam mengekalkan keinginan pembaca dan penonton sesebuah drama.
    Ekonomi, emosi dan keseimbangan
    Secara keseluruhannya struktur sesebuah drama bergantung kepada keseimbangan dalam semua elemen. Setiap suatu elemen tersebut mestilah memberikan sumbangan dalam membentuk corak dan pola sesebuah drama itu. Setiap suatu elemen itu sentiasa berkaitan dan bergantungan antara satu sama lain. Satu aspek yang mesti juga diberi perhatian oleh penulis skrip ialah faktor ekenomi. Hai ini demikian  kerana drama ialah satu bentuk komunikasi yang  elemen masa memainkan peranan yang penting. Oleh itu,  faktor masa perlu diberikan perhatian. Selain itu, drama juga merangkumi aspek emosi. Hai ini demikian  kerana sesebuah drama itu dihasilkan untuk manusia dan emosi memainkan peranan penting dalam soal komunikasi kemanusiaan.
    Jenis-jenis drama
    Pada umumnya terdapat tiga jenis drama yang utama, iaitu:
    • Tragedi – sebuah drama yang mengisahkan suka duka dan tragisnya kehidupan wira utamanya. Kisah wira ini selalunya berakhir dengan tragedi. Dalam drama ini perjalanan kisahnya menemui tragedi itulah yang utama.
    • Komedi – Drama ini memaparkan kisahnya dalam bentuk lucu dan menghiburkan. Ceritanya serius,  tetapi disampaikan dalam bentuk kelucuan oleh watak-wataknya. Drama ini selalunya digunakan untuk menyindir masyarakat. Plot drama komedi boleh berakhir dengan kepuasan penonton (kegembiraan) dan boleh juga berakhir dengan kedukaan .Drama begini dikenali juga sebagai tragik-komedi.
    • Melodrama – Drama ini bersifat sentimental dan ceritanya sering berpusat pada persoalan keluarga atau wanita. Drama ini selalunya akan menyentuh emosi pembaca atau penonton.
    Format Skrip Drama Pentas
    Skrip drama pentas mempunyai formatnya yang sendiri. Anda wajar mengikut format yang standard apabila menulis skrip supaya ia mudah dibaca, difahami oleh pengarah drama dan yang penting ia menunjukkan yang anda memahami genre sastera yang anda tulis. Dalam format penulisan skrip, anda perlu memuatkan perkara-perkara yang  berikut:
    • Muka surat judul yang mempunyai judul drama anda, nama penulis (nama anda), judul sumber asal (novel) jika skrip drama itu karya adaptasi, nama dan tempat terbit (jika diterbitkan) dan tahun.
    • Sinopsis. Anda perlu juga menulis sinopsis atau ringkasan drama anda (kira-kira 150 patah perkataan). Sinopsis ini perlu memberikan maklumat tentang watak, tema dan perjalanan cerita dan yang penting mampu menarik minat pembaca untuk membaca seterusnya skrip drama anda.
    • Watak dan senarai watak – Anda perlu memberikan senarai watak yang terlibat dalam drama anda serta deskripsi ringkas tentang perwatakannya seperti bentuk fizikal, usia dan sifat-sifat tertentu watak itu.
    • Pecahan babak juga perlu.
    • Adegan atau babak sesebuah drama berlaku dalam satu ruang tempat, masa dan watak. Oleh itu,  ruang tempat, masa dan watak perlu juga diberitahu sebelum sesuatu adegan itu bermula.
    • Format atau stail menaip skrip terdapat beberapa bentuk. Lihatlah bentuknya daripada beberapa skrip yang pernah anda baca.
      Di sini saya sertakan satu contoh bagaimana sebuah skrip drama pentas ditulis, petikan babak 12 drama “Patah Sayap Terbang Jua” tulisan Othman Haji Zainuddin yang diadaptasi daripada novel Patah Sayap Terbang Jua karya A. Samad Ismail.
    12. DERETAN KEDAI/ SINGAPURA/MALAM
    Wahab masuk ke kawasan itu. Seketika dia berdiri di jalanan yang diterangi oleh lampu elektrik yang muram. Kelihatan Inah mengekorinya. Seketika dia memerhatikan kelakuan wahab. Dari jauh kedengaran muzik mengalun dari antara beberapa buah rumah yang masih diterangi oleh lampu. Wahab bersiul-siul kecil dan mendendangkan lagu keroncong “Kemayuran”.
    WAHAB (Menyanyi)

         Kiri jalan, kanan pun jalan
         Nona manis endung disayang
         Lateralala lala lala….
         Di tengah-tengah pohon mengkudu
         Kirim jangan
         Pesan pun jangan
         Sama-sama
         Menanggung rindu.

    Ketika ini Inah ikut sama menyanyi
         INAH & WAHAB
         Kirim jangan
         Pesan pun jangan
         Sama-sama
         Menanggung rindu…

    Inah tepuk tangan. Wahab terkejut Inah di sisinya.
    INAH:  Ada apa Hab, kau nak jumpa
       aku?
    WAHAB:  Banyak perkara nak dibuat.
    INAH :  Apa yang boleh aku tolong?
    WAHAB:  Kau tolong aku seperti kau
       tolong hasim lonjong.
    INAH:  Hasim lonjong?
    Penutup
    Setelah anda membaca tulisan ini, diharapkan anda mendapat sedikit pengetahuan tentang kaedah-kaedah penulisan skrip drama pentas. Ia mungkin belum cukup untuk menjadikan anda penulis skrip yang baik kerana penulis skrip drama pentas yang baik menuntut kerja-kerja pemerhatian masyarakat , banyak membaca naskhah skrip drama yang baik dan perlu juga banyak menonton teater. Bagaimanapun ia sudah cukup untuk menggerakkan anda memulakan suatu penulisan skrip.
  • Jumaat, 15 Julai 2011

    BIKIN FILEM

    Bagaimana tugas penerbitan sebuah filem....


    Hari ini aku akan bercerita berkaitan pembikinan filem yang ringkas. Oleh kerana ia ringkas, eloklah aku kongsikan dengan pembaca blog ini yang ingin mengetahui serba sedikit tentangnya.

    GAMBAR BERGERAK
    Gambar bergerak terhasil daripada sejalur filem lut sinar yang panjang yang mengandungi banyak imej tidak bergerak. Projektor yang menayangkan filem tersebut akan menggerakkan 24 keping imej terpisah di filem setiap 1 saat. Setiap satu imej mempunyai perbezaan yang sedikit di antara satu sama lain. Apabila kita menonton imej di layar, otak kita yang akan menyambungkan imej-imej tersebut membentuk satu pergerakan gambar yang lancar di layar.

    PRAPENERBITAN FILEM
    Katakan seorang Penerbit filem ingin membuat sebuah filem. Penerbit ialah orang yang bertanggung jawab terhadap keseluruhan proses pembikinan filem dari mula hingga akhir. Penerbit dan Pengarah akan bekerja bersama dalam satu kumpulan penerbitan yang besar yang mengadungi berpuluh atau beratus krew dengan perbelanjaan yang besar hingga mencecah jutaan ringgit.

    Pembikinan filem bermula dengan penulis skrip lakon layar. Penulis skrip lakon layar ini menukar cerita contohnya dari sebuah novel ke bentuk teks yang dikenali sebagai skrip filem. Skrip filem dipinda beberapa kali. Pengarah yang dilantik oleh Penerbit untuk mengarah filem berkenaan akan bekerja dengan pelukis untuk menukarkan skrip filem kepada 'storyboard'. Catatan akan ditambah untuk memberi perincian bagi dialog, muzik dan kesan khas(special effect). Skrip filem dan 'storyboard' membantu Pengarah untuk memvisualkan setiap adegan yang akan dipapar dan melancarkan aksi dalam filem.

    PENGURUS LOKASI akan merayau atau mencari lokasi-lokasi yang sesuai untuk penggambaran adegan. Tugas ini dikenali sebagai RECEE. Penerbit Lokasi ini akan menghubungi tuan punya setiap lokasi, mendapatkan kebenaran untuk penggambaran dan juga merundingkan sewa lokasi dan sebagainya. Dia juga perlu menguruskan penutupan jalan-jalan dalam bandar kepada lalulintas sepanjang penggambaran.

    PENGARAH PEMILIHAN PELAKON mengupah pelakon untuk mengisi watak-watak dalam filem. Dua bintang utama iaitu hero dan heroin akan ditawarkan untuk berlakon melalui ajen atau pengurus mereka. Sementara pelakon yangkurang penting akan di uji bakat. Mungkin ratusan pelakon akan diuji dan akan diputuskan siapa yang layak.

    PEREKA BENTUK.
    Pereka bentuk penerbitan bekerja dengan pelukis 'storyboard' dan Pengarah untuk merancang suasana visual yang betul. Pereka set menukar idea ini kepada arahan berkaitan cara untuk membina set dalam studio.


    PENERBITAN

    Penggambaran di luar dikenali sebagai penggambaran di lokasiKrew dan pelakon filem mengambil tugas masing-masing. Beberapa jam mungkin diperlukan untuk menyolek pelakon.

    Solekan khas;
    Dilakukan untuk menukar rupa pelakon contihnya seperti wajah hantu, dan sebagainya.

    Solekan biasa;
    Dilakukan untuk mengubah wajah pelakon untuk disesuaikan dengan watak. Krim dan bedak mekap bewarna mengubah umur dan warna kulit.

    Pakaian
    Pelakon utama mempunyai pakaian yang dibuat khas untuk mereka. Pembekal pakaian akan meneliti skrip berminggu lamanya. Mereka akan mengumpul semua pakaian yang diperlukan oleh setiap pelakon disetiap adegan. Pakaian-pakaina ini didapati dari koleksi studio ataupun di sewa.


    Pengarah akan cuba merakamkan seberapa banyak adegan atau babak setiap hari. Apabila semuanya telah sedia Pengarah akan memulakan penggambaran. Jeritan 'ACTION' dan 'CUT' dari mulut Pengarah adalah perkataan biasa dalam penggambaran. Rakaman kamera dan rakaman bunyi akan dimulakan sebaik sahaja pelakon beraksi seperti yang dikehendaki oleh Pengarah. Rakaman sesuatu adegan akan dibuat beberapa kali sehingga Pengarah berpuas hati.


    Kesinambungan atau 'continuity'
    Filem yang telah siap sebenarnya dibuat daripada adegan-adegan yang dirakam pada masa yang berlainan. Penyelia Kesinambungan mengambil gambar foto dan menulis catatan pada setiap adegan. Tugas ini dilakukan untuk memastikan bahawa adegan-adegan tersebut bersesuaian. Penyelia Kesinambungan ini menasihat jurusolek tentang penampilan setiap pelakon. Dia juga memeriksa agar kostum tidak berubah antara adegan-adegan dalam satu babak.

    Jika tiada sinar matahari;
    Cahaya matahari mungkin terlindung tetapi penggambaran tetap diteruskan dengan bantuan lampu. Kipas yang besar juga digunakan untuk memberi bayu lembut atau angin kencang yang meniup pelakon. Hujan dihasilkan dari perenjis air di atas kepala pelakon.



    PENGGAMBARAN


    Kamera filem bergerak;

    Roda bergerigi dalam kamera filem menggerakkan filem ketika rakaman dibuat. Lens atau kanta kamera memfokus imej ke atas filem apabila filem melalui kamera 24 bingkai atau frame yang berasingan sesaat. Pelbagai jenis lens atau kanta digunakan semasa penggambaran iaitu untuk shot dekat dan jauh.

    Filem untuk kamera bergerak merupakan jaluran plastik tahan lasak yang panjang yang mempunyai ketebalan lebih kurang 1/5 mm. tebal. Disaluti bahan kimia yang peka kepada cahaya yang dikenali sebagai 'emultion'. dan ketebalan di atas filem lebih kurang 15/1000mm. tebalnya. Ia mempunyai tiga lapisan yang peka kepada cahaya biru, hijau dan merah.

    Satu minit penggambaran memerlukan 27 meter filem. Untuk satu filem cereka ia memerlukan 2.5 Km atau 1.5 batu filem.


    Rakaman Bunyi;

    Petugas bunyi atau juruaudio menggunakan perakam pita mudah alih semasa penggambaran di lokasi. Mutu bunyi di lokasi biasanya tidak elok atau sesuai bagi filem siap. Rakaman ini digunakan sebagai panduan pelakon proses 'dubbing' dalam studio untuk dimasukkan ke dalam aksi filem.


    LAGAK NGERI

    Biasanya lagak ngeri dilakonkan oleh pelakon aksi atau pelagak ngeri. Mereka berpakaian dan di solek seperti bintang filem utama. Biasanya adegan lagak ngeri dirakamkan dari jauh oleh itu wajah pelakon ngeri tersebut tidak kelihatan. Shot-shot yang lebih dekat adalah menggunakan wajah pelakon yang sebenar.

    Aksi lagak ngeri berjalan beberapa minit sahaja tetapi ia mengambil masa beberapa jam untuk membuatnya. Biasanya pelindung khas dipasang untuk melindungi pinggul, tulang belakang, bahu dan siku pelagak ngeri untuk mengelak kecederaan yang berat. Untuk aksi lasak berkaitan api, pelakon ngeri memakai pakaian dan sarung tangan kalis api selepas pakaian perisai dan sebagainya. Topeng seperti wajah pelakon utama dipakai. Letupan dan percikan api dibuat oleh pakar yang berkenaan.


    MEMBINA SET

    Terdapat juga beberapa adegan dalam sebuah filem memerlukan rakaman dalam studio yang dikenali sebagai penggambaran atas set. Set biasanya mengambil masa beberapa minggu untuk disiapkan. Pelan set dimulakan semasa peringkat PRA PENERBITAN apabila pereka bentuk penerbitan berbincang dengan Pengarah. Satu set pelan dilukis di komputer. Bahagian-bahagian yang tidak dilihat oleh kamera tidak akan dihias.

    Pereka bentuk set akan menggunakan lakaran-lakaran set untuk membuat set dengan ukuran yang sebenar. Komputer membantu melihat setiap sudut set. Tukang kayu dan juruhias set membuat dan menghias set menjadi kelihatan seperti hidup dan betul.

    Pembuat model membuat model yang sempurna bagi setiap set. Ia membantu Pengarah dan Juruteknik untuk menentukan kedudukan kamera dan lampu. Model-model juga digunakan untuk penggambaran kesan khas(special effect). Contohnya ialah dalam adegan letupan dan kebakaran.


    BUNYI

    Setelah siap penggambaran, bunyi pula mesti dimasukkan ke filem. Bunyi untuk filem iaitu suara pelakon, muzik dan bunyi kesan khas. Bunyi di adun dengan menggunakan Konsol Pengadun Bunyi. Pengadun bunyi duduk di depan konsol memerhatikan gambar filem. Tugasnya ialah memastikan gambar bergerak serentak dengan bunyi. Konsol ini boleh menjalankan filem kedepan dan kebelakang filem dengan kelajuan berbeza.

    Muzik memberi kesan kepada filem. Muzik memainkan alat muzik dalam studio dan dirakam dipita secara berasingan. Ia kemudian di adun dengan pengadun bunyi.

    Mutu bunyi dari penggambaran di lokasi adalah tidak bermutu untuk filem. Oleh itu dubbing skrip pelakon akan di rakam dalam studio. Pelakon bercakap berulang kali sehingga benar-benar sepadan dengan pergerakan bibir pelakon dalam filem. Bunyi seperti tapak kaki, letupan, bunyi haiwan rimba juga dimasukkan.


    MENCANTUM FILEM

    Pengarah dan Penyunting filem bertugas bersama untuk memilih filem atau shot untuk menghasilkan filem siap. Mesin Meja Suntingan digunakan untuk menggerakan filem kehadapan dan kebelakang. Ia juga turut memainkan dua pita bunyi iaitu satu pita mengandungi suara pelakon dan satu pita lagi mengandungi muzik atau kesan bunyi. Penyunting memotong dan menyambungkan filem-filem ini. Dengan menggunakan mesin ini filem dan pita rakaman digerakkan bersama supaya gambar dan bunyi sepadan. Sebuah filem mengandungi empat bahagian utama iaitu gambar, suara pelakon, muzik dan kesan bunyi. Semua bahagian ini disambungkan dengan tepat untuk menjadikan sebuah filem.


    PRATONTON;

    Filem siap ditayangkan buat pertama kali secara pra tonton tertutup di hadapan khalayak tertentu. Pakar filem, pekerja pemasaran studio diantara yang dijemput untuk menonton. Mereka menonton filem yang pertama kali ditayangkan. Pandanga-pandangan yang membina akan membantu Pengarah untuk melihat bahagian-bahagian tertentu yang memerlukan penyuntingan semula.


    TAYANGAN PERDANA

    Dalam tayangan perdana khalayaknya terdiri daripada bintang-bintang filem, pengkritik filem, wartawan akhbar dan tv turut serta. Selepas tayangan perdana, tayangan umum pula dilakukan. Ia ditayangkan di bandar-bandar besar oleh panggung-panggung wayang yang menerima salinan-salinan filem berkenaan.

    Sabtu, 9 Julai 2011

    Melihat Allah DiSyurga



    This piece of writing is taken from the same book, Hati Sebening Mata Air written by Amru Khalid. (may Allah bless him) I like it soooo much and Im sharing it with everyone!!  Enjoy reading! =)


    Anugerah terindah dan termulia di syurga ialah melihat Allah swt. 

    Nabi bersabda,

     “Sesungguhnya, penduduk syurga ketika memasukinya, mereka akan tinggal di dalamnya dengan amal-amal mereka. Kemudian mereka dipanggil ketika waktu seukuran waktu azan solat Jumaat ketika di dunia, sehingga mereka pun mengunjungi Tuhan mereka.  Lalu arasy-Nya dinampakkan pada mereka, yang nampak berada di taman dari taman-taman syurga, mereka diberikan mimbar-mimbar dari cahaya, mimbar-mimbar dari mutiara, mimbar-mimbar dari berlian, mimbar-mimbar dari zamrud, emas, perak, dan ada yang duduk di lantai yang beralaskan kerikil dari kasturi dan batu-batuan wangi. Mereka melihat yang duduk di atas kursi lebih baik tempat duduknya dari mereka"

    Abu Hurairah r.a. bertanya, 

    Wahai Rasul, apakah kami akan melihat Tuhan kami?” baginda menjawap, “Ya, apakah kalian sulit melihat matahari dan bulan pada  malam purnama?” “Tidak”. Baginda berkata, “Demikianlah, kalian tidak akan sulit melihat Tuhan kalianDan tidaklah tertinggal seorang pun di tempat itu kecuali Allah akan bicara padanya, hingga Dia bertanya pada seorang di antara mereka, “Wahai fulan bin fulan, apakah engkau ingat ketika kau berkata ini dan itu?” hamba itu mengemukakan uzurnya di dunia lalu berkata, “Wahai Tuhanku, bukankah Engkau sudah mengampuniku?” Allah menjawap, “Ya, bahkan dengan ampunan Ku, kau bisa sampai pada tempatmu sekarang.

    Tatkala mereka dalam keadaan seperti itu, awan menaungi mereka di atas mereka, dan Allah menyebarkan wangi-wangian pada mereka, yang mereka belum pernah menemukan bau wangi seperti itu. Lalu Allah berkata, “Bangunlah kalian menuju tempat yang Kusiapkan pada kalian dari kemuliaan, dan ambillah apa yang kalian inginkan.”

    Lalu mereka datang ke sebuah pasar yang dikelilingi malaikat. Di dalamnya apa yang belum pernah dilihat oleh mata, belum pernah didengar oleh telinga, dan belum pernah terdetik dalam hati. Lalu dibawa pada mereka  apa yang mereka inginkan. Di dalamnya tidak ada jual beli. Di pasar itu penduduk bumi sebahagian mereka bertemu dengan sebahagian yang lain, yang berkedudukan tinggi menerima orang yang berkedudukan di bawahnya  dan mereka di tempat yang rendah, sehingga pakaian mereka yang begitu mewah itu membuatnya kagum.

    Di akhir hadis:… "ketika ia kembali pada isteri-isterinya, mereka mengatakan, “Selamat datang, kau telah tiba, dan kau lebih tampan daripada ketika kau berpisah dengan kami.” Ia berkata, “hari ini kami bertemu dengan Tuhan kita yang Maha Perkasa, sehingga wajar jika kami kembali dalam keadaan seperti ini.”

    Suhaib meriwayatkan bahawa Nabi saw membaca ayat,

    Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik di syurga dan tambahannya…” (Yunus:26)

    Lalu Baginda berkata, “Jika penghuni syurga telah memasuki syurga dan penghuni neraka telah memasuki neraka, maka ada penyeru yang menyeru, “wahai penghuni syurga, kalian memiliki janji dari Allah, Dia menginginkan kalian menyelesaikannya” Mereka bertanya, “Apa itu? Bukankah Dia telah memberatkan timbangan kami, memutihkan wajah kami, memasukkan kami ke syurga, dan menarik kami dari neraka?”

    Baginda berkata, “Maka dibukalah tirai dan mereka melihatNya.” Lalu Baginda berkata, “Maka, demi Allah, tiadalah Dia memberi mereka yang lebih mereka sukai dan tiada yang lebih menyejukkan mata mereka dari melihatNya". 

    (HR Muslim, Imam Ahmad, dan At tarmizi)

    Oleh kerana itu, Nabi berdoa:
    Ya Allah, aku meminta pada Mu kelazatan melihat wajahMu dan rindu bertemu dengan Mu.” (HR Imam Ahmad dan An-Nasa’i)




    Jika kita melihat pemandangan alam atau saat matahari terbit atau terbenam, tanpa sedar kita mengatakan, “Ya Allah, betapa menakjubkan!” Padahal ini hanya pemandangan dunia yang tidak sebanding walau dengan satu sayap nyamuk. Jadi apa pendapat kita bila melihat Yang Menciptakan keindahan? Apa perasaan kita saat melihat Allah swt.?


    JATUH





    Suatu hari Rasul sedang duduk bersama para sahabat ketika mereka mendengar suara gemuruh, lalu Nabi bertanya, "Apakah kalian tahu apa itu?". Mereka menjawap, "Tidak wahai Rasulullah." Baginda berkata, "Itu batu yang jatuh ke dasar neraka. Ia telah jatuh sejak tujuh puluh tahun, dan sekarang baru sampai dasarnya." (HR Muslim dan Imam Ahmad)

    Bagaimana rasanya jatuh selama tujuh puluh tahun? Seumur hidupnya. Ia jatuh, dan sebelum ia sampai ke dasar neraka, ia melayang jatuh selama ia hidup. 

    Fikir-fikirkan.

    sometime





    .
    assalamualaikum..

    sometimes..
    kita rasa kita memang kuat semangat..
    haikikatnya..
    ada masa kita juga tersungkur lemah..

    sometimes..
    kita rasa kita boleh get closed dengan semua orang
    hakikatnya..
    bukan semua orang mampu menerima kita..

    sometimes..
    kita rasa kita selalu susahkan orang lain..
    hakikatnya.
    kita memang memerlukan orang lain..

    sometimes..
    kita rasa kita terlalu kuat..
    hakikatnya..
    kita akan terus juga diuji..

    sometimes..
    kita rasa sudah cukup menjaga ukhwah..
    hakikatnya..
    pasti ada juga yang terluka..

    sometimes..
    kita selalu menyalahkan takdir..
    hakikatnya..
    setiap yang berlaku pasti ada hikmah

    sometimes...
    kita rasa kita mahu semua benda..
    hakikatnya..
    tak semua benda kita boleh miliki..

    sometimes..
    kita rasa kita sudah cukup ceria..
    hakikatnya..
    masih ada orang yang cakap kita garang..

    sometimes..
    kita sedaya upaya sembunyikan rahsia hati..
    hakikatnya..
    rahsia kadangkala terluah di raut wajah..

    sometimes..
    kita rasa kita keseorangan..
    hakikatnya..
    Allah sentiasa bersama-sama dengan kita..

    sometimes..
    kita rasa kita sunyi..
    hakikatnya..
    Allah sebaik-baik tempat mengadu..

    sometimes..
    kita rasa kesempitan wang.
    hakikatnya..
    Allah sebaik-baik pemberi rezeki..

    sometimes..
    kita rasa sangat berserabut..
    hakikatnya..
    dengan mengingati Allah..hati akan tenang.

    sometimes..
    kita rasa kita susah..
    hakikatnya..
    Allah adalah sebaik-baik penolong..

    sometimes..
    kita rasa kita tak selamat..
    hakikatnya..
    Allah sebaik-baik pemelihara..

    sometimes..
    apa yang kita rancang selalu tak menjadi..
    hakikatnya..
    perancangan Allah lebih baik..

    what you have to do?



    Pencil And Parents


    Tazkirah Pendek...

    Pencil: I'm sorry....


    Eraser: For what? You didn't do anything wrong.


    Pencil: I'm sorry cos you get hurt bcos of me. Whenever I made a mistake, you're always there to erase it. But as you make my mistakes vanish, you lose a part of yourself. You get smaller and smaller each time.


    Eraser: That's true. But I don't really mind. You see, I was made to do this. I was made to help you whenever you do something wrong. Even though one day, I know I'll be gone and you'll replace me with a new one, I'm actually happy with my job. So please, stop worrying. I hate seeing you sad. :)



    _________



    Ini kawan saya email kat saya..



    Parents are like the eraser whereas their children are the pencil.
    They're always there for their children, cleaning up their mistakes.
    Sometimes along the way...
    they get hurt,
    and become smaller (older, and eventually pass on).
    Though their children will eventually find someone new (spouse),
    but parents are still happy with what they do for their children,
    and will always hate seeing their precious ones worrying, or sad.

    This is for all parents out there.....

    Mari kita ingat pada ibu dan bapa kita..
    mereka berkorban sehabis daya memberi kehidupan yang baik untuk kita.
    Selalu mengalah pada kelemahan kita..
    Semoga kita selalu ingat.
    memberi kepada mereka sebahagian dari rezeki yang Allah berikan..
    selalu menghubungi dan menziarah mereka.. Semoga kita menjadi anak yang baik pula untuk ibu dan ayah kita..

    _____________

    p/s hari ni saya di melbourne university. saya ke surau tadi nak solat zuhur, rupanya students lelaki tak buat solat jumaat di sport centre tapi di surau.jadi saya pun dapat ikut sekali. Ini adalah kali pertama sepanjang saya di melbourne, saya dapat solat jumaat 2 rakaat di sini. Khatibnya memberi khutbah bertajuk DO not Lie..